EN | BM
News Article from Kosmo


DARI kiri: Suhaida, Ramdan dan Norazura membuktikan bahawa bekerja di McDonald's® mempunyai prospek kerjaya yang positif.


BEBERAPA kali dalam seminggu, wanita yang memakai kemeja kelabu gelap berseluar hitam itu akan memandu di lorong pandu lalu McDonald's® Kota Laksamana, Melaka untuk memesan hidangan secara rawak.

Tindakan tersebut merupakan salah satu cara Nurazura Zakaria, 33, memantau gerak kerja pekerja bawahannya. Nurazura meletakkan dirinya sebagai pelanggan untuk menilai sendiri kualiti servis yang diberikan oleh pekerja pandu lalu.

“Kami perlu memberi perkhidmatan terbaik agar pelanggan beroleh kepuasan maksimum di McDonald's®,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang yang dibesarkan di Melaka itu.

Memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Restoran (RGM) di situ sejak tiga tahun lalu, dia sedikit pun tidak meletakkan tembok pemisah antara dirinya dengan pekerja.

“Kami di McDonald's® bak sebuah keluarga besar. Amalan kerja berteraskan manusia membuatkan kami perlu sentiasa berkomunikasi secara efektif dengan pelanggan serta rakan sekerja.

“Malah, persekitaran kerja yang ceria dan kondusif dapat membakar mood terutama pada hari yang sibuk,” jelas Nurazura yang memulakan tugas sebagai kru sambilan di cawangan Taman Buaya dan Rekreasi, Melaka pada tahun 2001 sebaik menamatkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan awam.

Walaupun mampu mendapatkan kerjaya yang setara dengan kelulusannya, namun dia lebih seronok berinteraksi dengan ramai pelanggan setiap hari berbanding mengendalikan mesin.

Selain Nurazura, kerjaya sebagai RGM turut mencorak kehidupan lebih baik kepada Ramdan Mohd. Yusoff, 38.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui, pelbagai perkara positif berlaku pada dirinya sejak menjadi kru di restoran tersebut pada tahun 1996.

“Pengalaman berinteraksi dengan orang ramai setiap hari menjadikan saya lebih yakin dan berani. Sebelum ini saya merupakan seorang yang sangat pemalu,” ujarnya ketika ditemui di McDonald's® Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Sejarah McDonald's® bermula apabila Raymond Albert Kroc atau Ray Croc yang merupakan pengedar eksklusif alatan membuat susu kocak Multimixer bekerjasama dengan dua orang adik-beradik, Richard dan Maurice McDonald, yang mengusahakan restoran burger di San Bernadino, California, Amerika Syarikat (AS).

Ray Croc mengatur rundingan dengan mereka dan mendapatkan hak francais untuk mengendalikan restoran McDonald's®.

Pada tahun 1955, Ray Croc mengasaskan Perbadanan McDonald's® dan membuka restoran pertama di Des Plaines, Illinois, AS. Beliau kemudiannya membeli saham milik McDonald bersaudara pada tahun 1961. Hari ini, McDonald's® berkembang sebagai rangkaian restoran terbesar di dunia dengan lebih 33,000 cawangan di 119 negara.

Cabaran
McDonald's® menyediakan pelbagai pilihan makanan untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Antara makanan di restoran tersebut yang mendapat permintaan tinggi ialah burger, kentang goreng, ayam goreng, bubur nasi dan pai.
Mengulas lanjut, Ramdan memberitahu peluang bekerja di McDonald's® juga telah menemukannya dengan suri hati yang dahulunya juga merupakan seorang kru.

Tambah Ramdan, sejak menjawat jawatan sebagai RGM pada tahun 2006, adakalanya dia terpaksa berdepan dengan cabaran yang memerlukan pertimbangan saksama terutama apabila melibatkan kru di bawah seliaannya.

“Secara peribadi, cabaran terbesar yang dihadapi oleh RGM ialah untuk mengawal staf. Apabila berlaku perselisihan faham antara kru, RGM perlu bijak memainkan peranan untuk mencari solusi.

“Seboleh-bolehnya, kami akan menyelesaikannya secara dalaman. Sekiranya ia di luar keupayaan, barulah masalah tersebut akan dirujuk ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut,” katanya yang telah berkhidmat di 11 cawangan McDonald's® sejak lebih dua dekad lalu.


Kebajikan


Sistem bayaran tanpa tunai di semua restoran McDonald's® telah dilancarkan di seluruh r negara pada Ogos 2016.


Ramdan merupakan RGM McDonald's® cawangan Batu Caves, Selangor. Walaupun hanya berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun Ramdan bersyukur kerana majikan menyediakan peluang pengembangan kerjaya yang setara dan bergantung kepada prestasi setiap kru.

Laluan kerjayanya terbentuk mudah apabila dia dilantik sebagai RGM pada tahun 2006 selepas sedekad bekerja. Dia juga pernah dipilih untuk mengikuti Program Kepimpinan Restoran selama seminggu di Universiti Hamburger di Sydney, Australia.

Universiti Hamburger yang diasaskan pada tahun 1961 oleh Ray Kroc merupakan pusat latihan kecemerlangan McDonald's® khusus untuk melatih pekerjanya dari seluruh dunia dalam bidang pengurusan restoran. Institusi itu juga melatih pekerja berhubung penyediaan makanan serta telah menghasilkan lebih 80,000 orang graduan.

Terdapat tujuh Universiti Hamburger iaitu di Oak Brook, AS; Sydney, Australia; Munich, Jerman; London, England; Tokyo, Jepun; Sao Paulo, Brazil dan Shanghai, China.

“McDonald's® sangat menjaga kebajikan pekerjanya. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, namun saya mampu memperoleh pendapatan agak tinggi bagi orang yang berkelulusan SPM,” akuinya.

Turut berkongsi pengalaman ialah Suhaida Ahmad, 33. Wanita berbadan dua yang berasal dari Kuala Lumpur itu memulakan kerjaya di McDonald's® pada tahun 2002 sebagai kru tetap.

Bertugas sebagai pengurus cawangan Jalan Tun Tan Siew Sin, Kuala Lumpur atau Jalan Silang, cabaran dan pengalaman menarik yang dialami Suhaida sewaktu menguruskan cawangan itu ialah ketika berurusan dengan pelanggan yang rata-rata merupakan pelancong asing.

“Isu komunikasi sangat mencabar. Kadangkala mereka memesan menu yang terdapat di negara masing-masing sedangkan ia tiada di Malaysia,” ujarnya yang sudah bekerja dengan McDonald's® selama 15 tahun.

Suhaida turut menyifatkan kerjaya di McDonald's® sangat sesuai untuk wanita bergelar ibu sepertinya.

“Waktu kerja yang fleksibel selama sembilan jam sehari mengikut syif membuatkan golongan wanita masih mempunyai ruang untuk menguruskan keluarga dan melakukan aktiviti sosial tanpa sekatan.

“Malah, boleh dikatakan lebih 50 peratus pekerja McDonald's® terdiri daripada kaum Hawa dengan sebahagiannya sudah berkeluarga,” katanya.
Prestasi cemerlang dan kerja keras Nurazura, Ramdan dan Suhaida berbalas apabila masing-masing menerima Anugerah Pengurus Restoran Cemerlang.

Suhaida menerimanya pada tahun 2013 manakala Nurazura dan Ramdan pada tahun 2016.

Pengiktirafan itu dinilai berdasarkan komitmen cemerlang mereka untuk mencapai sasaran jualan dan keuntungan mengikut garis panduan yang ditetapkan syarikat.

Komited
Mengulas mengenai peluang mengembangkan kerjaya di McDonald's®, Pengarah Kanan Sumber Manusia, Pentadbiran dan Urusan Halal Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., Ahmad Azhar Mohamad Darbi, 49, memberitahu, pihaknya sebagai pemegang francais restoran makanan segera itu di Malaysia sentiasa menyediakan platform pembangunan kerjaya kepada pekerja yang kondusif dan komited.

“Sebelum ini, masyarakat melabel pekerjaan di restoran makanan segera sebagai pekerjaan sambilan sahaja.

“Hakikatnya, potensi pengembangan kerjaya tetap berlaku walaupun bermula sebagai pekerja sambilan di mana-mana premis,” ujarnya.

Jelas Ahmad Azhar, setiap pekerja akan diberi latihan intensif oleh jabatan latihan sebagai persediaan memulakan tugas.

Sekiranya pekerja dapat mengikut garis panduan yang ditetapkan dan menunjukkan prestasi cemerlang, pelbagai manfaat tersedia buat mereka termasuk peluang kenaikan pangkat.

“Malah, kami turut mengalu-alukan penyertaan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti cacat pendengaran dan bisu untuk menjadi kru kerana ia dapat melatih mereka berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain,” katanya.