EN | BM
Berita dari Utusan Online



KLANG, 1 Julai 2016 - Lokasi yang strategik dan persekitaran selesa menyebabkan McDonald's® di Klang Sentral di sini menjadi tumpuan orang ramai untuk bersahur sepanjang Ramadan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai tidak henti-henti datang ke restoran makanan segera itu bermula pukul 2 pagi sama ada makan di situ atau beli makanan segera untuk dibawa pulang.

Perkara itu diakui oleh Pengurus Besar restoran tersebut, Faz­lin Mohd. Nordin yang menyatakan pihaknya menerima ramai pelanggan ketika waktu sahur sejak awal Ramadan lagi.

Menurutnya, ramai pelanggan yang datang terdiri daripada penduduk dari kawasan sekitar seperti Meru, Bukit Raja dan Setia Alam.

“Pelanggan lebih ramai ketika hujung minggu sehingga boleh mencapai 250 orang semasa tempoh sahur sahaja.

“Lokasi restoran ini yang terletak di tengah-tengah penempatan penduduk dan kemudahannya yang selesa serta selamat menyebabkannya menjadi pilihan orang ramai.

“Kita juga menjangka mene­rima lebih ramai pelanggan menjelang musim balik kampung pada hujung minggu ini kerana lokasi restoran ini terletak berhampiran terminal bas Klang,” katanya ketika ditemui di restoran itu di sini awal pagi ini.

Sementara itu seorang pelanggan, Pu­teri Nursharina Abd. Aziz, 25, memberitahu, dia sering berkunjung ke restoran makanan segera itu untuk menghabiskan kerja sambil menunggu waktu sahur.

“Biasanya jika saya banyak kerja dan keesokannya pula hari cuti atau saya tidak ada mesyua­rat di pejabat, saya bersama teman akan datang ke restoran ini untuk menyiapkan tugasan.

“Saya suka membuat kerja di sini kerana suasana tenang dan sangat selesa selain dapat mengelak tertidur sementara menunggu waktu sahur,” jelas­nya.
Seorang lagi pelanggan, Mohd. Amirul Izat Razali, 19, berkata, dia memilih restoran McDonald's® itu sebagai tempat berkumpul bersama teman sambil menonton perlawanan bola sepak.

“Kebetulan puasa kali ini sama dengan kejohanan Euro 2016 dan banyak perlawanan berlangsung pada pukul 12 tengah malam ke atas sekali gus membolehkan saya dan teman menonton bola sepak terlebih dahulu sebelum bersahur.

“Di sini juga disediakan tele­visyen skrin besar yang diletakkan di bahagian luar untuk pe­ngunjung,” ujarnya.