EN | BM
Berita dari BH Online

KUALA LUMPUR:
Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonald's® Malaysia), pengendali rangkaian restoran McDonald's® di Malaysia, merancang melabur RM1.4 bilion menjelang 2025 bagi mengembangkan perniagaan di negara ini.

Pengarah Urusannya, Azmir Jaafar, berkata menerusi pelan pengembangan perniagaan itu McDonald's® Malaysia merancang menggandakan jumlah restoran kepada 450 cawangan daripada 262 cawangan ketika ini.

"Pelan perniagaan jangka panjang ini akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baharu di negara ini daripada sejumlah 12,000 pekerjaan pada masa ini," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Azmir berkata, untuk tempoh tiga tahun, McDonald's® Malaysia memperuntukkan pelaburan RM363 juta untuk membuka 33 restoran baharu dan mengubah suai 86 cawangan sedia ada, selain mampu mewujudkan sehingga 2,000 pekerjaan baharu.

"Tahun ini saja, kami memperuntukkan pelaburan berjumlah RM100 juta dengan lapan hingga 10 cawangan baharu akan dibuka dan 28 lagi melalui fasa ubah suai. "Setiap cawangan baharu akan membabitkan pelaburan RM5 juta, manakala ubah suai cawangan membabitkan kos RM1 juta setiap satu," katanya.

Tahun ini juga, katanya, McDonald's® Malaysia akan memperkemaskan operasi dengan memperkenalkan perkhidmatan dan teknologi baharu untuk memperkukuhkan perkhidmatan kepada pelanggan. "McDonald's® meneruskan trajektori pertumbuhan dengan melaksanakan pembaharuan untuk membawa kami ke tahap lebih tinggi," katanya.