EN | BM

Berita dari hmetro.com.my


Kami umpama 'icing' yang ada pada bahagian atas, bahagian yang paling utama adalah kek itu sendiri,” kata Sheikh Abdullah Alireza, Pengerusi Reza Group iaitu antara syarikat tertua dan disegani di Arab Saudi.

Perumpamaan itu digunakan bagi menggambarkan kedudukannya sebagai pihak atasan dan betapa pentingnya kakitangan bawahan yang menggerakkan keseluruhan operasi syarikat yang tertubuh daripada syarikat induk, Haji Abdullah Alireza Company.

Prinsip dan pendekatan yang dipraktikkan itu menjadikan legasi perniagaan mereka yang bermula sejak lebih 150 tahun lalu kekal relevan, kukuh serta disegani masyarakat sehingga kini.


RESTORAN McDonald's® di Badrani sebahagian daripada 102 cawangan kendalian Reza Food Services. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli


“Segala-galanya bermula ketika datuk saudara saya berhijrah ke Arab Saudi dari Parsi pada 1840-an akibat pergolakan yang berlaku di sana dan kemudian dituruti dua adiknya termasuk datuk saya.

“Mereka berdagang kecil-kecilan barangan seperti gandum, beras dan gula. Apabila dia (datuk) meningkat dewasa, perniagaan itu kemudian berkembang sehingga berjaya menubuhkan syarikat Haji Abdullah Alireza pada 1872,” katanya.

Beliau ditemui Harian Metro di Ibu Pejabat Reza Group di Alireza Tower, di Jeddah, dalam lawatan anjuran McDonald's® Malaysia.


SHEIKH Abdullah Alireza ditemubual wartawan Harian Metro di pejabatnya di Alireza Tower, Jeddah. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli

Reza Group kemudian ditubuhkan pada 1972 dan kini mempunyai 20 anak syarikat daripada sembilan cabang perniagaan antaranya makanan serta pertanian.

Menerusi cabang itu, anak syarikatnya, Reza Food Services Co Ltd (RFS) mempunyai hak eksklusif memiliki dan mengendalikan 102 rangkaian restoran makanan segera, McDonald's® di bahagian barat dan selatan tanah Arab sejak 1994.

Sejumlah 23 restoran terletak di dua Kota Suci iaitu Makkah dan Madinah, masing-masing 12 serta 11 restoran termasuk yang paling dekat dengan Masjidil Haram hanya kira-kira lima kilometer (km).


RESTORAN McDonald's® di Badrani sebahagian daripada 102 cawangan kendalian Reza Food Services. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli


“Kejayaan yang kami sekeluarga kecapi termasuk mengendalikan McDonald's® bersandarkan kepada ajaran yang diterapkan sejak kecil iaitu percaya kepada Allah SWT.

“Adakah setiap keputusan yang dibuat diberkati Allah SWT atau tidak? Sekiranya ya, kami mengikut aturannya dan percayalah, ini adalah polisi terbaik supaya akan datang kita lebih dihormati,” katanya.

Selepas berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan restoran itu, RFS mengorak langkah apabila memegang Lesen Pembangunan (DL) untuk pasaran Malaysia dan Singapura menerusi Lionhorn Pte Ltd bermula 1 Disember 2016.



ABDULRAHMAN Alireza. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli

Pengurus Besar RFS Abdulrahman Alireza berkata, perjanjian itu berjaya diselesaikan hanya dalam masa enam bulan.

“Ia satu rekod buat McDonald's® kerana perjanjian untuk DL ini berjaya diselesaikan dalam masa yang sangat singkat. Pihak mereka mengatakan bahawa ia berlaku kerana kami mempunyai rakan kongsi tempatan yang terbaik iaitu Azmir Jaafar,” katanya.

Lionhorn diterajui Sheik Fahd dan Abdulrahman, manakala Azmir Jaafar menguruskan sepenuhnya McDonald's® Malaysia sebagai Pengarah Urusan yang juga rakan kongsi operasi.

Abdulrahman berkata, semua restoran McDonald's® di ketiga-tiga negara dimiliki mereka sepenuhnya dan diuruskan warga tempatan tanpa sebarang campur tangan.


AZMIR (kanan) bersama Abdulrahman Alireza di restoran McDonald's® di Makkah. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli

“McDonald's® (Corporation) tidak mempunyai ekuiti, kepentingan dan wang (pelaburan) dalam perniagaan ini. Tiada walau Riyal Saudi (SR) 1 dengan kami di Saudi, tiada walau RM1 di Malaysia. Operasi McDonald's® Malaysia dilaksanakan sepenuhnya oleh kami dan Azmir (Jaafar).

“Bagaimanapun, mereka sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama jitu untuk memastikan kejayaan jenama ini. Kejayaan mereka (McDonald's®) hari ini kerana sentiasa mencari warga tempatan seperti Azmir untuk menerajui restoran di satu-satu kawasan,” katanya.



AZMIR (kiri) bersama Abdulrahman Alireza (tengah) dan Mohammed Alireza bergambar di hadapan ibu pejabat Reza Group di Alireza Tower di Jeddah, Arab Saudi. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli

Abdulrahman berkata, dia akan menyokong Azmir pada bila-bila masa yang diperlukan untuk menerajui 260 restoran di Malaysia ketika ini dan 200 lagi restoran baru dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Beliau mempunyai pengalaman yang cukup, tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh belajar daripada beliau dan beliau juga boleh belajar sesuatu daripada saya.

“Kami percaya dengan konsep perkongsian. ‘Mencuri tanpa rasa malu’ jadi kami ‘mencuri’ idea seperti jika saya ke Malaysia dan tahu mereka ada program, produk atau aktiviti yang bagus, kami boleh ambil idea itu. Mungkin bukan hanya untuk pelanggan, tetapi juga untuk kakitangan kami,” katanya.

Selepas lebih enam bulan memiliki DL untuk pasaran Malaysia dan Singapura, Abdulrahman mula merangka strategi serta perancangan untuk mensinergikan operasi termasuk kerjasama yang boleh dilaksanakan.