EN | BM
Berita dari Utusan Online



KUALA LUMPUR, 5 Julai 2016 - Sebagai sebuah restoran makanan segera yang berasal dari Amerika Syarikat, mungkin masih ada yang meragui status halal makanan McDonald's® walaupun syarikat itu sudah beroperasi di negara ini lebih 30 tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDo­nald’s Malaysia, Wan Mohd. Zam Wan Embong, McDonald's® merupakan restoran khidmat segera pertama menerima persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada awal tahun 90-an.

“Semua bahan ramuan yang digunakan dalam penyediaan makanan kami disah­kan 100 peratus ha­lal oleh Jakim atau badan-badan pengiktirafan halal dari luar negara yang diluluskan Jakim. Setiap restoran McDonald's® di Malaysia memperoleh sijil halal dan memenuhi syarat halal pada setiap masa.

“Pematuhan standard halal kami bermula dengan pembekal dari dalam dan luar negara, setiap bahan yang digunakan mesti memiliki sijil halal sebelum menu baharu diperkenalkan atau ada perubahan menu,” katanya.

Menurut Wan Mohd. Zam, pembekal bahan protein McDonald's® Malaysia iaitu MacFood Services Malaysia Sdn. Bhd. merupakan pembekal pasaran halal McDonald's® bagi seluruh dunia.

“Setiap bekalan protein se­perti kepingan daging burger dan nuget ayam diproses mengikut syarat, kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan syarak.

“Kawalan dan ujian piawaian yang ketat dilakukan demi menjamin pengeluaran produk yang berkualiti termasuk kesemua pembekal kami yang lain se­perti Coca-Cola dan Nestle untuk minuman, Dindings yang membekalkan ayam serta Aryzta untuk roti dan ban,” katanya.

Tambah beliau, aspek halal yang dipraktikkan McDonald's® Malaysia bukan saja merangkumi hal-hal berkaitan makanan, malah hal kebersihan turut dititikberatkan.

“Amat penting untuk kami memastikan setiap makanan dan minuman yang dihidangkan mencapai standard kebersihan yang tinggi. Jakim juga sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala terhadap pematuhan syarat halal di tempat penyimpanan, penghidangan, pengendalian dan pembungkusan,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung dakwaan sesetengah pihak di internet tentang hidangan McDonald's® seperti sos tidak halal, kopi mengandungi lemak khinzir dan lembu dimasukkan hidup-hidup ke dalam mesin kisar, beliau berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Kesemua produk yang dihidangkan di restoran kami di Malaysia dijamin 100 peratus halal dan kami mematuhi standard kualiti serta keselamatan makanan yang ketat bagi memastikan hidangan yang disajikan bermutu tinggi.

“Untuk kepastian tentang status halal kami, pengguna boleh menghubungi Bahagian Hab Halal Jakim di talian 03-88925000 atau layari www.halal.gov.my atau boleh menonton video tentang komitmen halal kami di www.mcdonalds.com.my,” katanya.